Matematik dan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam dwibahasa
Posted by admin on January 09 2008 - 21:50:41
Sumber : Berita Harian 30/10/2007 (Oleh Rosniza Mohd Taha)
KEPUTUSAN kerajaan mengekalkan peperiksaan mata pelajaran Matematik dan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan menerima reaksi positif daripada beberapa kesatuan guru tetapi mahu kajian menyeluruh mengenainya dilakukan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata persediaan mengadakan peperiksaan dua subjek itu dalam bahasa Inggeris kini lebih tertumpu kepada peralatan dan kursus intensif untuk guru.
Justeru, katanya, maklum balas pelajar termasuk masalah dihadapi dalam proses pengajaran menggunakan bahasa itu perlu dititikberatkan menerusi kajian menyeluruh yang akan diadakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Kami menyokong langkah kerajaan mengekalkan penggunaan dwibahasa dalam UPSR kerana masih ramai murid memerlukan masa menguasai bahasa Inggeris dan jika dipaksa, ia akan menjejaskan prestasi akademik mereka.
“Menerusi kajian NUTP di beberapa negeri, ada guru memaklumkan murid tetap menjawab soalan dalam bahasa Melayu walaupun mereka mengajar dalam bahasa Inggeris kerana lemah penguasaan dalam bahasa kedua itu."